Seni berlakon ataupun berteater melalui kefahaman kegiatan yang diistilahkan sebagai ‘total teater’ telahpun wujud sekian lama di Malaysia, iaitu seawal abad ke 18 melalui pementasan yang dinamakan sebagai persembahan Mak Yong. Walaupun dengan segala penemuan dan pembuktian, para sarjana masih membincangkan sehingga kini untuk mencari ketepatan waktu wujudnya kegiatan ini. Namunpun, kesahihan bukti tentang kewujudan pengembangan teater tari Mak Yong berlaku pada abad ke 19 iaitu di era Mak Yong diangkat menjadi kesenian istana kelantan oleh Tengku Temenggung Ghaffar, manakala Mek Mulung dan Jikey yang turut tergolong di dalam kategori total-teater yang masih kurang mempunyai data dapatan yang jelas tentang teori permulaan kewujudannya. Hanya pada masa itu, istilah kesenian ini tidak dikenali sebagai teater atau drama tetapi lebih kepada maksud kegiatan pementasan lakunan yang difahamkan mengikut nama-nama pergelaran melalui pertunjukan-pertunjukan yang menggunakan seni bercerita ke atas satu gaya persembahan lakunan bercitarasa tempatan. Iaitu menuntut kepada pelaku itu melakonkan sesuatu watak melalui penceritaannya bagi tujuan dipersembahkan kepada khalayak ramai di ruangan yang disediakan. Kegiatan kesenian ‘berlakon’ atau ‘lakonan’ ini telah bertapak dan wujud di alam Melayu sepertimana yang dibincangkan di bab satu mengenai jenis-jenis persembahan yang dikonsepkan sebagai tergolong di dalam pementasan berbentuk teater ataupun drama, dan dramatari.
Sebahagian besar sejarah awal teater di Semenanjung Malaysia dilabelkan kabur secara ilmiahnya dengan kekurangan bukti secara bertulis. Banyak sumber yang diperolehi dari para pengkaji tempatan dan luar negara turut menyenaraikan kisah-kisah dari mitos dan lagenda, iaitu melalui tradisi lisan dan amalan budaya, khususnya bagi upacara-upacara yang berasal dari amalan animisme masyarakat zaman silam. Faktor penyumbang kepada teori kewujudan gaya persembahan sebegini adalah berkait dengan sejarah yang berkait dengan asal kepercayaan animisme di era pra-sejarah; agama Hindu dan Buddha di awal era Masehi iaitu beberapa kerajaan di Asia Tenggara seperti Langkasuka, Champa dan Funan di awal Masihi; Lembah Bujang, Srivijaya dan Gangga Negara (Perak) pada sekitar abad 4 hingga 9 Masihi; dan seterusnya Majapahit sehingga kepada kemasukan agama Islam yang dikatakan masuk ke Semenanjung Malaysia pada pelbagai-pelbagai era kemasukan melalui pedagang Arab dan India seawal abad ke 9 hingga kemuncaknya pada abad ke 13 apabila dicatatkan dalam sejarah Tanah Melayu melalui putera beragama Hindu yang bergelar Parameswara telah memeluk agama Islam dan lalu tersebarnya ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Perkembangan kegiatan teater juga turut dikatakan menerima pengaruh hasil dari akibat perdagangan dan penjajahan seperti kemasukan Portugis, Belanda, British dan Jepun kepada pembentukan-pembentukan teater moden di Semenanjung Malaysia yang lebih mengkhususi kepada drama yang bertemakan perihal cerita masyarakat, ataupun digelar sebagai drama masyarakat.
Kepentingan pencarian terhadap kaedah pemikiran kreatif yang dicapai dan difahami oleh seniman-seniman silam yang melupori bentuk-bentuk teater tradisional telah melalui dan menampakkan kepentingan rasa keindahan serta fungsi yang diperlukan dalam kehidupan masyarakat. Seperti mana juga ianya berlaku terhadap teater moden yang turut berkaitan dengan kehendak masyarakat semasa. Walaupun begitu teater moden tidak mempunyai konsep yang tetap dan berupaya untuk kekal dari satu era ke satu era seperti mana yang berlaku kepada teater-teater tradisional. Terdapat faktor-faktor yang unik yang dimiliki oleh teater-teater tradisional. Secara ringkasnya ianya mempunyai suatu kefahaman yang mencungkil intisari kefahaman masyarakat Melayu tentang keindahan dan kepentingannya di dalam suatu kehidupan, tanpa perlu memahami erti yang dimaksudkan oleh istilah-istilah seperti yang diketahui oleh penggiat seni dalam kegiatan seni persembahan pada masa sekarang.
Bentuk-bentuk seni persembahan “berlakon” ini di dalam pengertian sejagat terhadap jenis-jenis teater yang wujud di Malaysia, dan menyentuh tentang apa yang sepatutnya dimengertikan tentang senilakon ini sebagai tafsiran yang perlu diletak-letakkan sifat-sifat yang mencirikan kepada asas kefahaman yang perlu diterima oleh masyarakat dunia tentang senilakon ini, iaitu seperti istilah yang perlu dimengertikan sebagai ‘teater’. Berkemungkinan juga perkembangan dunia persembahan lakonan ataupun teater, telah mencatatkan pelbagai turutan sejarah yang memaparkan kesenian sebegini yang telah lama bertapak di bumi Asia dan kemudiannya di tiru semula sebelum dijenamakan kembali melalui pengertian oleh seniman-seniman barat. Seperti bagaimana Grotowski, Brecht, Artaud dan malah Stanilavsky yang telah mempergunakan teknik-teknik seni persembahan sepertimana yang difahami sebagai kegiatan “seni lakon”, telah digabungkan melalui pengertian istilah yang dikenali sebagai “interculturism”. Akhirnya teknik-teknik ini berkembang dikenali dan popular sebagai cara yang dihasilkan dari bumi barat.
Begitu juga Richard Schechner yang juga mempopularkan teori etologi beliau tentang teater melalui kacamata kefahaman sains mengenai ilham yang menjadikan sesuatu kegiatan kesenian berdasarkan maksud kajian yang menyentuh konsep kehidupan pada satu sudut. Satu sudut pandangan yang hanya menyentuh soal paparan yang masih berkonsepkan perspektif luaran tentang konsep ritual yang dipenuhi dengan soal alam ghaib. Persoalannya adakah semua perkara kreatif di dalam senilakon dipenuhi dengan tuntutan ritual, ataupun berlaku juga kaedah-kaedah yang hanya membentuk kepada sifat dan gaya dalam penggarapan. Ataupun, terdapatnya perbezaan makna pengistilahan terhadap alam ghaib dan ritual, sepertimana ternyata berbezanya pendapat antara pengertian falsafah kehidupan dalam Islam dengan falsafah kehidupan yang menolak agama dan lebih mementingkan kepada bentuk corak pemikiran yang neutral dan bergantungan kepada logika sebab musababnya. Lebih tepat dimengertikan sebagai ilmu sains.
Konsep persembahan teater tradisional di alam masyarkat Melayu di Malaysia juga dikatakan mempamer corak asas yang sama dengan teater-teater tradisional di asia, khususnya pada kesenian yang dikatakan mempunyai perhubungan dengan pengaruh kepercayaan seperti Animisme, Buddha dan Hindu. Gabungan asas melalui tiga unsur utama iaitu, gerak tari yang merangkumi tujuan lakonan, muzik dan nyanyian yang dicorakkan melalui penceritaan yang menghubungkan dengan kepercayaan melalui fahaman ritual dan spiritual serta kesaktian yang luar biasa. Namun begitu, dapatan kajian memperlihatkan bentuk teater tradisional Melayu mempunyai ciri-ciri yang berlainan di dalam disiplin dan gaya perbendaharaan pergerakan yang berbeza dengan teater tradisional di lain-lain negara yang diterangkan seperti di atas. Di mana seperti teater tari Noh, Wayang Wong, Khon dan Lakhon, Khatakali, Cat Luong ataupun juga Mohlam yang jelas menampakkan gaya lakonan dengan corak gerak tari yang bukan mengambil dari gerak-gerak manusia biasa, tetapi lebih memperagakan gerakan yang melambangkan status ketuhanan yang memperlihatkan kepada simbol kesatriaan, ketinggian darjat, misteri alam ghaib serta pergerakan yang boleh dimengertikan sebagai gerakan yang terkeluar dari gaya manusia biasa ataupun masyarakat pendukung. Diperkatakan sifat-sifat wanita asia sering mempamerkan tatasusila tingkah laku yang bersopan-santun di dalam gerak-geri kehidupan seharian. Namunpun begitu apabila memperagakan gerak tari, sifat amalan kesantunan dalam pergerakan fizikal yang memaparkan rasa jiwa amatlah berbeza dari apa yang dimiliki dalam budaya kehidupan masyarakat itu, tetapi memperlihatkan simbol kepada pergerakan yang mengisyaratkan kepada pola gerak yang terkeluar dari logik gerak manusia. Seperti contoh gerakan burung garuda ataupun monyet yang bertubuh manusia, gerak bermotif patung wayang yang melebihkan gerakan-gerakan ke sisi tubuh badan, gerakan yang diambil dari bentuk motif relief-relief di candi-candi yang juga turut bukan bersifatkan manusia, dan juga gerakan-gerakan semangat roh-roh atau hantu yang memberontak di alamnya. Unik dan benar seperti apa yang dimengertikan sebagaimana yang dilabelkan oleh para sarjana seni persembahan drama.
Manakala, teater tari ataupun dramatari di Malaysia memperlihatkan gaya lakonan, tutur kata dan gerak tari yang serupa dengan gaya perbendaharaan gerak seperti yang terdapat di dalam gaya gerak kebiasaan di dalam kehidupan masyarakat Melayu. Melalui sedikit ubai-suaian terhadap corak dan sifat pergerakan harian berdasarkan kaedah yang dimengertikan sebagai penggayaan (stylised) menampakkan garapan rekabentuk yang melambangkan nilai-nilai tentang sifat kemelayuan. Suatu perlambangan yang mementingkan nilai adat yang menyentuh soal sifat perangai yang beretika dan bersederhana ataupun introvert. Nilai-nilai sebegini juga boleh dilihat dalam gaya garapan pergerakan di dalam tarian traidisional dan malah seni silat.
No comments:
Post a Comment