Seni berlakon ataupun berteater melalui kefahaman kegiatan yang diistilahkan sebagai ‘total teater’ telahpun wujud sekian lama di Malaysia, iaitu seawal abad ke 18 melalui pementasan yang dinamakan sebagai persembahan Mak Yong. Walaupun dengan segala penemuan dan pembuktian, para sarjana masih membincangkan sehingga kini untuk mencari ketepatan waktu wujudnya kegiatan ini. Namunpun, kesahihan bukti tentang kewujudan pengembangan teater tari Mak Yong berlaku pada abad ke 19 iaitu di era Mak Yong diangkat menjadi kesenian istana kelantan oleh Tengku Temenggung Ghaffar, manakala Mek Mulung dan Jikey yang turut tergolong di dalam kategori total-teater yang masih kurang mempunyai data dapatan yang jelas tentang teori permulaan kewujudannya. Hanya pada masa itu, istilah kesenian ini tidak dikenali sebagai teater atau drama tetapi lebih kepada maksud kegiatan pementasan lakunan yang difahamkan mengikut nama-nama pergelaran melalui pertunjukan-pertunjukan yang menggunakan seni bercerita ke atas satu gaya persembahan lakunan bercitarasa tempatan. Iaitu menuntut kepada pelaku itu melakonkan sesuatu watak melalui penceritaannya bagi tujuan dipersembahkan kepada khalayak ramai di ruangan yang disediakan. Kegiatan kesenian ‘berlakon’ atau ‘lakonan’ ini telah bertapak dan wujud di alam Melayu sepertimana yang dibincangkan di bab satu mengenai jenis-jenis persembahan yang dikonsepkan sebagai tergolong di dalam pementasan berbentuk teater ataupun drama, dan dramatari.
Sebahagian besar sejarah awal teater di Semenanjung Malaysia dilabelkan kabur secara ilmiahnya dengan kekurangan bukti secara bertulis. Banyak sumber yang diperolehi dari para pengkaji tempatan dan luar negara turut menyenaraikan kisah-kisah dari mitos dan lagenda, iaitu melalui tradisi lisan dan amalan budaya, khususnya bagi upacara-upacara yang berasal dari amalan animisme masyarakat zaman silam. Faktor penyumbang kepada teori kewujudan gaya persembahan sebegini adalah berkait dengan sejarah yang berkait dengan asal kepercayaan animisme di era pra-sejarah; agama Hindu dan Buddha di awal era Masehi iaitu beberapa kerajaan di Asia Tenggara seperti Langkasuka, Champa dan Funan di awal Masihi; Lembah Bujang, Srivijaya dan Gangga Negara (Perak) pada sekitar abad 4 hingga 9 Masihi; dan seterusnya Majapahit sehingga kepada kemasukan agama Islam yang dikatakan masuk ke Semenanjung Malaysia pada pelbagai-pelbagai era kemasukan melalui pedagang Arab dan India seawal abad ke 9 hingga kemuncaknya pada abad ke 13 apabila dicatatkan dalam sejarah Tanah Melayu melalui putera beragama Hindu yang bergelar Parameswara telah memeluk agama Islam dan lalu tersebarnya ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Perkembangan kegiatan teater juga turut dikatakan menerima pengaruh hasil dari akibat perdagangan dan penjajahan seperti kemasukan Portugis, Belanda, British dan Jepun kepada pembentukan-pembentukan teater moden di Semenanjung Malaysia yang lebih mengkhususi kepada drama yang bertemakan perihal cerita masyarakat, ataupun digelar sebagai drama masyarakat.
Kepentingan pencarian terhadap kaedah pemikiran kreatif yang dicapai dan difahami oleh seniman-seniman silam yang melupori bentuk-bentuk teater tradisional telah melalui dan menampakkan kepentingan rasa keindahan serta fungsi yang diperlukan dalam kehidupan masyarakat. Seperti mana juga ianya berlaku terhadap teater moden yang turut berkaitan dengan kehendak masyarakat semasa. Walaupun begitu teater moden tidak mempunyai konsep yang tetap dan berupaya untuk kekal dari satu era ke satu era seperti mana yang berlaku kepada teater-teater tradisional. Terdapat faktor-faktor yang unik yang dimiliki oleh teater-teater tradisional. Secara ringkasnya ianya mempunyai suatu kefahaman yang mencungkil intisari kefahaman masyarakat Melayu tentang keindahan dan kepentingannya di dalam suatu kehidupan, tanpa perlu memahami erti yang dimaksudkan oleh istilah-istilah seperti yang diketahui oleh penggiat seni dalam kegiatan seni persembahan pada masa sekarang.